Tuesday, 14 March 2017

Takdir Tidak Akan Pernah Tertukar ( Cerpen )

Hasil carian imej untuk cinta halal

Kerana jodoh itu tidak akan pernah tertukar ; dan setiap takdir Allah itu mengandung setuja hikmah ; bersabarlah ; segalanya bukanlah sia-sia .

=====================================================
“ Anak-anak ummi tahu kenapa cinta itu terlalu menyakitkan ?” soal ummi tiba-tiba kepada kami . Aneh , tetapi pasti ada sesuatu yang bermain dimindanya tika ini .

“ Tak tahu , kenapa ummi ? Beritahu la pada kami .” jawab Akhtar , terus bertanya apa yang dia tidak jelas .

“ Kerna cinta itu tidak akan pernah adil jika dikuasai makhluk . Tanpa redha Ilahi , ia akan menjadi satu perkara yang amat menyakitkan , yang membuat seorang manusia itu hilang pertimbangan , dan terkadang sifatnya menghancurkan . Ummi taknak anak-anak ummi kecewa . Andai cinta manusia yang sempurna itu yang anak-anak ummi dambakan , teruskanlah langkah dalam mencari redha Dia terlebih dahulu . Maka akan Dia mempermudah segalanya .” jelas ummi kepada kami , entah kenapa tiba-tiba ummi bercerita mengenai cinta , bukankah frasa cinta itu luas dan sentiasa membahagiakan ?

“ Tapi ummi , kenapa Aakif tengok ramai yang berbahagia dengan cinta ? Mereka sentiasa tersenyum , saling memberi dan menerima , saling menyayangi antara keduanya ?” tanyaku pula .

Soalan itu termain di benakku , entah mengapa , baik aku terus ajukan pada ummi saja , moga-moga segalanya jelas .

“ Ya sayang , dan kerana bahagia yang sementara itu la manusia selalu terleka . Ummi ceritakan kepada anak-anak ummi bukan secara sengaja , tetapi kerana ummi sendiri pernah melaluinya .” balas ummi sambil tersenyum . Susah ditafsirkan makna senyumannya saat itu , bagai menyembunyi seribu satu cerita .

“ Ummi , cerita la pada kami . Kami nak tahu .” pinta Akhtar , ya itulah dia , senang untuk terus bertanya berbanding menyakitkan kepala untuk
merumus sendiri . Abang , abang .

“ Dulu , ummi juga ada bercinta , dan syukur cinta ini memang untuk dia , hingga kini pun …” ummi memulakan kisah yang dia pendam , dalam masa yang sama , ummi menggenggam erat tangan abi disisi , abi yang dari awalnya tersenyum menanti bidadari nya membuka cerita , ada rahsia pada dua pasang mata itu .

“ Ummi bercinta ?! Dengan siapa ? Dah tu kenapa ummi kahwin dengan abi sedangkan ummi masih cintakan orang tu ?” potong kembarku laju , haish encik Akhtar , tak boleh ke awak tu bawa bersabar ? Sedikit geram didalam hati .

“ Sabar Akhtar , bagi ummi cerita dulu . Siapa ajar Akhtar jadi orang yang tak sabar ni ?” celah abi mematikan persoalan anak sulungnya . Itulah abi , tegas dalam lembut , cukup sempurna . Padanlah Tuhan tetapkan ummi untuk abi . Keduanya menyempurnakan sesama sendiri . Dalam diam , aku menyimpan rasa kagum tentang pertemuan ummi dan abiku sendiri .

“ Hehe maaflah abi , Akhtar jadi tak sabar pula . Sambunglah ummi , maafkan Akhtar mencelah dan mungkin terguriskan hati ummi dan abi .” pantas saja abangku itu menutur kata maaf . Sesuai dengan maksud namanya .

“ Dan lelaki itu , adalah lelaki yang sama , yang mengakad nama ummi , yang Allah pisahkan dari ummi , bukan kerana tiada jodoh antara kami , tetapi kerana pada masa itu kedua kami masih belum cukup mampu menyemai cinta yang berpaksi Ilahi . Maka Tuhan itu jarakkan kami dulu , dan ya , masa tu ummi rasa semuanya salah ummi , salah ummi tak berjaya mencintai lelaki sesempurna abi . Tapi hakikatnya , salah ummi adalah mencintai dia tanpa kedua kami melorongkannya kepada jalan yang penuh janji pasti .” luah ummi sambil menatap mata abi . Terpancar kasih suci didalam mata itu . Ya Tuhan , sungguh perancangmu ini adalah yang terindah .

“ Maksud ummi , lelaki yang ummi cinta dari dulu hingga kini hanya abi ?” soal aku terus , sedikit keliru dengan penyampaian ummi .

“ Ya , dan wanita yang abi taruhkan hati dari dulu hingga kini dan semoga selamanya juga adalah hanya ummi . Wanita pertama yang mengajar erti ikhlas menyayangi , yang memaksa abi mengubah diri asbab untuk terus bersamanya , dan wanita yang mampu berdiri disebalik berbeza abi yang hari ini dengan abi yang dulu .” abi menyambung cerita ummi . Ya , terlihat beza diraut wajah itu , jika tadi seakan seribu keindahan tetapi kini wajah itu mempamer riak berjuta kesyukuran . Pasti indah kisah perkenalan mereka . Yang aku tahu ummi dan abi mula berkenalan ketika di bangku sekolah lagi . Entah bagaimana sedangkan jarak antara mereka cukup jauh . Kalau dah Tuhan itu menciptakan mereka bersama , jarak itu juga tidak mampu menghalang bukan ?

“ Indah , cukup indah . Tapi hakikatnya ummi hanyalah perosak iman di hati abi pada tika itu . Bertahun Allah menjarakkan kami , dan jujur dalam masa itu , ummi didik hati untuk melupakan cinta manusia , ummi terlalu serik terjunam kedalamnya . Bagi ummi , cukup la satu hati ini , ummi pahatkan dengan nama abi . Walau tika itu jika Dia tidak mengizinkan kami bersama , ummi redha . Cuma untuk melontar pergi nama abi , ummi tidak mampu .” ummi meluah tentang keadaan yang dia tempuh . Kisah cinta yang dia simpan sendiri selama ini .

“ Dan abi juga begitu , tiada wanita sesempurna ummi . Yang mampu membuat abi menyerah . Bertahun lama Tuhan memisahkan kami , tetap akhirnya satu wanita yang layaknya menjadi ketua bidadari ini menjadi milikan abi . Abi tidak pernah menyimpan apa-apa harapan setelah berpisah . Yang abi tahu , bila tiba masanya akan abi pergi meminta ummi dari walinya . Dan benarlah , takdir tidak pernah tertukar , ummi menerima tanpa dia kenali siapa pemintanya . Yang ummi tahu ketika itu , dia menerima atas tuntutan sunnah dan keluarga . Hinggalah hari terijabnya akad di antara kami , barulah ummi mengetahui siapa pelengkap harinya , dan ketika itu bidadari abi ini mengalirkan air mata , di atas nama Ilahi , abi tidak mahu air mata itu terus mengalir , cukup la sakit yang abi beri dulu . Dan masa ini , adalah masa untuk ummi berbahagia . Itu janji abi .” ujar abi menamatkan cerita di sebelah pihaknya pula . Terlihat jelas di tubir mata ada air itu ada mata yang bertakung . Pantas ummi mengucup tangan abi , meminta restu dan ampun seorang suami . Ada terpamer syukur di situ . Siapa saja tidak berbahagia , cinta yang mereka pendam dalam diam akhirnya disatukan oleh pemilik alam .

“ Ambil la pengajaran dari kisah abi dan ummi ini mujahid-mujahid kami , ya cinta itu tidak salah . Ianya adalah fitrah . Tetapi lorongkanlah ke jalan yang punya redha Allah . Ummi dan abi pernah merasa sakitnya cinta itu satu tika dulu dan ummi tidak mahu kalian turut merasainya . Galilah cinta Tuhan , maka cinta manusia itu akan mengikuti di belakangnya .” pesan ummi lagi lantas mencium ubun-ubun kepala aku dan Akhtar . Ya , pasti dia tidak mahu aku dan abang jatuh kejurang cinta sebelum masanya . Nasihat ummi bukanlah saja-saja , tetapi mengandung sejuta makna . Kuatlah ummi dan abi , moga Tuhan satukan kalian bukan hanya di dunia tetapi turut di dalam syurga Dia .